global

Ngeri! Anjing gonggong bayi baru lahir

Oleh Agensi

POLIS India sedang menyiasat rakaman video menunjukkan anjing liar menggonggong mayat bayi baru dilahirkan di luar sebuah hospital di Madhya Pradesh, India.

Dalam rakaman video oleh orang ramai yang disiarkan semalam, anjing berkenaan dilihat membawa mayat bayi terbabit di jalan raya dekat hospital di perkampungan Gopalganj.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada bayi terbabit masih hidup atau sudah mati sebelum digonggong anjing berkenaan.

Rakaman itu menunjukkan anjing terbabit kemudian mengoyakkan mayat bayi berkenaan untuk diberi kepada anak-anaknya sebelum polis yang dihubungi, tiba dan menyelamatkan cebisan yang masih tinggal.

Daily Mail yang memetik Asian News International melaporkan, jurucakap polis tempatan, Sanjay Soni, berkata pihaknya sudah menghantar mayat itu untu bedah siasat dalam usaha mengenal pasti mayat bayi terbabit dan bagaimana ia boleh digonggong anjing.

Menurutnya, sebaik mendapat maklumat, pihaknya segera ke tempat kejadian dan menemui mayat bayi terbabit dalam keadaan menyayat hati.

Sementara itu, Doktor Arun Saraf, yang bekerja di hospital berkenaan, berkata: “Sebaik mengetahui kejadian itu, kami memulakan siasatan.”

Bulan lalu, kejadian sama iaitu anjing menggonggong mayat bayi, juga berlaku di Madhya Pradesh.

Dalam kejadian lain sebelum ini, seorang bayi perempuan yang mati beberapa jam selepas dilahirkan, dilarikan anjing selepas dibiar terbungkus di atas lantai di Uttar Pradesh.

Disiarkan pada: December 7, 2017 @ 6:32pm
d