global

Pergi 'jahanam Amerika, Trump'

Oleh Agensi

RATUSAN ribu umat Islam di seluruh dunia menyertai bantahan tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, sambil melaungkan slogan anti-Amerika, termasuk ‘jahanam Amerika’, ‘jahanam Trump’.

Bantahan diadakan banyak negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Tunisia, Jordan dan di Palestin sendiri.

Ketika sekutu rapat Amerika, termasuk Eropah dan Britain menyertai Russia membantah tindakan Presiden Donlad Trump itu, puluhan penduduk Palestin cedera ditembak, sama ada oleh peluru getah atau peluru hidup ketika bertempur dengan polis dan tentera Israel.

Di Kuala Lumpur, ribuan umat Islam melaungkan slogan anti-Amerika, membakar patung dan poster Trump ketika berarak dan berkumpul di depan Kedutaan Amerika.

Di Indonesia, ribuan penunjuk perasaan berpakaian putih berkumpul di depan Kedutaan Amerika di Jakarta sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan ‘Allahu Akbar’.

Kedutaan Amerika di negara itu menasihatkan rakyatnya mengelak pergi ke kawasan tunjuk perasaan manakala konsulatnya di Surabaya ditutup hari ini.

Ribuan umat Islam di Tunisia juga keluar ke jalan raya menyertai bantahan di beberapa bandar besar dengan kesatuan sekerja dan beberapa pertubuhan menganjurkan bantahan besar di Tunis selepas solat Jumaat.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 4:35pm
d