global

Tikam sami guna pedang samurai

Oleh AFP

Tokyo: Seorang bekas sami yang bersenjatakan pedang samurai membunuh kakaknya dan isterinya sebelum membunuh diri dalam satu pergaduhan merebut sebuah tokong di sini, kata polis.

Shigenaga Tomioka, 56, menikam kakaknya, Nagako yang juga ketua sami tokong Tomioka Hachimangu menggunakan pedang samurai sepanjang 80 sentimeter pada lewat kelmarin.

Nagako, 58, disahkan meninggal dunia akibat kesan tikaman yang dalam di dadanya serta kesan kelar di belakang lehernya.

Shigenaga kemudian melarikan diri sebelum dia ditemui mati bersama isterinya yang berusia 30-an.

Polis percaya Shigenaga membunuh isterinya sebelum menikam dirinya sendiri dengan pedang samurai.

Menurut sumber, Nagako pernah berunding dengan polis pada Januari 2002 berhubung persengketaan dengan adiknya mengenai pewarisan tokong bersejarah yang dibina pada 1627 itu.

Dia pernah menjadi ketua sami di tokong berkenaan selepas mengambil alih peranan bapa mereka pada 1990.

Bagaimanapun, dia dipecat pada 2001 dan bapanya kembali menjadi ketua sami sebelum melantik Nagako mengambil alih jawatan berkenaan.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 12:46am
d