global

Gunung Agung terus aktif

Oleh Reuters

Bali: Aktiviti Gunung Agung yang berterusan sejak seminggu lalu masih belum berakhir apabila ia masih memuntahkan debu.

Badan pengurusan bencana Indonesia memberitahu, gunung itu mengeluarkan debu setinggi 2.1 kilometer pada jam 7.59 pagi (waktu tempatan) semalam.

“Kadangkala lava dan magma sukar dikeluarkan apabila ada tekanan, dan ia akan mengeluarkan debu,” kata ketua agensi itu, Gede Suantika kepada Reuters.

Menurutnya, sebelum gunung berapi itu mula mengeluarkan debu, ia mengeluarkan wap bercampur dengan sedikit debu pada 25 November lalu.

Gunung Agung setinggi 3,000 meter yang berupaya mencetuskan gegaran kuat, menunjukkan peningkatan aktivitinya sejak beberapa minggu lalu.

Debu tebal yang dikeluarkan gunung itu menyebabkan lapangan terbang di Bali ditutup mengakibatkan ribuan pelancong terkandas.

Keadaan itu juga mencetus kebimbangan berlakunya letusan kuat seperti pada 1963 yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa.

Disiarkan pada: December 9, 2017 @ 12:49am
d