global

Tolak petisyen zina sebagai jenayah

Oleh Reuters

MAHKAMAH Perlembagaan Indonesia menolak petisyen dikemukakan kumpulan konservatif negara itu untuk melarang hubungan seks luar nikah.

Lima daripada sembilan hakim mengundi mengetepikan petisyen itu yang memberi kemenangan tipis kepada kumpulan aktivis hak asasi manusia yang bimbang jika petisyen itu dibenarkan, akan menambah kawalan moral serta diskriminasi terhadap komuniti homoseksual.

Kumpulan akademik konservatif dan aktivis Perikatan Cinta Keluarga (AILA) mengemukakan petisyen memohon takrifan zina diguna pakai bukan saja kepada pasangan berkahwin, juga sesiapa saja supaya hubungan seks luar nikah diiktiraf sebagai jenayah.

Ketua hakim mahkamah itu, Arief Hidayat berkata, undang-undang zina sedia ada tidak bertentangan dengan perlembagaan dan ia bukan kuasa mahkamah untuk membuat dasar baharu.

Menurutnya, isu berkenaan sepatutnya dibangkitkan di Parlimen yang sedang mengkaji menyemak semula kod jenayah negara.

“Plaintif seharusnya mengemukakan petisyen itu kepada pembuat dasar dan ia harus menjadi input penting semakan berterusan terhadap kod jenayah negara.

“Berdasarkan pandangan itu, mahkamah perlembagaan berpendapat petisyen itu tidak sah,” kata Hidayat yang membacakan keputusan setebal 600 muka surat.

Sementara itu, anggota AILA, Euis Sunarti, berkata selain saluran perundangan, pihaknya juga melakukannya melalui dasar dan program kerajaan supaya penyimpangan seksual dapat dikurangkan.

Menerusi aduan mereka, AILA berkata perkara tertentu dalam kod jenayah negara ‘mengancam ketahanan keluarga dan Indonesia.’

Sesetengah aktivis hak asasi manusia berpendapat petisyen berkenaan menyasar komuniti homoseksual yang setakat ini tidak dikawal undang-undang, kecuali di Aceh.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 6:54pm
d