global

Gaza semakin terpinggir

Oleh Reuters

ISRAEL bertindak menutup sempadannya dengan Gaza hari ini, sebagai tindak balas terhadap serangan roket terbaru oleh pejuang Palestin.

“Berikutan isu keselamatan dan selepas penilaian keselamatan, pintu sempadan Kerem Shalom dan Erez ditutup,” kata kenyataan tentera Israel semalam.

Penutupan Kerem Shalom itu bermakna barangan tidak lagi boleh dibawa masuk ke Gaza yang dikepung tembok selain menjadi pintu keluar masuk pejalan kaki oleh penduduk Gaza.

Tentera Israel bagaimanapun, tidak menyatakan berapa lama pintu sempadan itu akan ditutup.

Sejak Presiden Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, serangan roket dan mortar dari Gaza ke wilayah Israel, berlaku hampir setiap hari, termasuk yang terbaru hari ini.

Berikutan bedilan roket yang tidak membawa kemusnahan di wilayah Israel hari ini, pesawat Zionis membedil tiga lokasi di Gaza yang didakwa kemudahan tentera Hamas.

Menurut tentera Israel, serangan itu menyasar kem latihan dan tempat simpanan senjata Hamas.

Belum ada laporan kematian atau kecederaan akibat serangan itu.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 7:24pm
d