global

Wartawan buat liputan presiden dibelasah

Beijing: Anggota keselamatan China membelasah seorang wartawan Korea Selatan sehingga cedera ketika mangsa membuat liputan lawatan Presiden Moon Jae-In ke Beijing, semalam.

Kejadian berlaku beberapa jam sebelum Moon dijadualkan menemui Presiden China, Xi Jinping dalam usaha memperbaiki hubungan dua negara itu susulan sistem pertahanan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan.

Ia terjadi di pusat konvensyen di Beijing ketika upacara pembukaan acara perkongsian perdagangan dihadiri Moon yang memulakan lawatan empat hari di negara itu pada Rabu lalu.

Jurugambar Korea Selatan memprotes selepas dilarang mengikut delegasi Moon oleh anggota keselamatan sebelum seorang pengawal mencengkam dan menarik tengkuk seorang daripadanya sebelum mencampakkannya ke lantai serta merampas kamera milik seorang lagi, lapor Pertubuhan Jurugambar Media Korea (KPPA).

“Jurugambar bernama Lee itu memprotes apabila dilarang memasuki dewan walaupun memiliki kad pengenalan menyebabkan 15 pengawal keselamatan mengerumuninya sebelum membelasahnya termasuk menendang mukanya menyebabkannya rebah.

“Akibatnya Lee cedera termasuk pada matanya, selain hidung berdarah dan mengalami pening. Pegawai pejabat presiden dan wartawan lain cuba menghentikan serangan itu tetapi gagal.

“Siapa sangka pegawai kerajaan mampu membelasah wartawan dari negara jiran dalam acara kebangsaan yang dihadiri ketua negara. Ini bukannya zon perang atau lokasi protes yang ganas. Adakah adab China untuk menjemput tetamu datang ke rumah anda sebelum dibelasah di ruang tamu?” kata KPPA dalam satu kenyataan.

Stesen KBS News Korea Selatan menyiarkan liputan menunjukkan sekumpulan lelaki memakai sut mengheret dan bergelut dengan seorang wartawan, manakala orang keliling mereka menjerit ‘berhenti!’ berulang kali dalam bahasa Inggeris serta makian dalam bahasa Korea.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang berkata, acara itu dianjurkan pihak Korea Selatan, namun pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan berharap ia sekadar insiden kecil. - AFP

Disiarkan pada: December 15, 2017 @ 2:37am
d