global

65 tahun dalam badan

New Delhi: Derita seorang lelaki sepanjang hidupnya selama 65 tahun akhirnya tamat selepas doktor mengeluarkan ketumbuhan seberat tiga kilogram (kg) yang ‘tumbuh perlahan-lahan’ di dalam badannya sejak dilahirkan.

Hemendra Gupta Arya, dari Aligarh, Uttar Pradesh, mengalami kesukaran bernafas dan sakit dada sepanjang hayatnya, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyangka ia akibat masalah jantung.

Bagaimanapun, keadaannya semakin buruk kerana mengalami kesukaran bernafas lebih teruk sebelum doktor membuat pemeriksaan lanjut dan menemui tumor berkenaan - dikenali sebagai hamartoma - di antara jantung serta paru-paru kirinya.

Hamartoma itu dikeluarkan dalam pembedahan selama tiga jam di Kolej Perubatan Jawaharlal Nehru di Universiti Muslim Aligarh.

Hamartoma tumbuh apabila tisu hilang ketika bayi membentuk dalam rahim yang menjadi tumor dan membesar.

Pakar bedah Dr Mohammad Haneef Beg berkata: “Dia hidup dengan ketumbuhan itu sepanjang hayatnya, malah ketika ditemui ia meliputi keseluruhan dada kirinya dan sudah seberat 3kg.

“Dia datang kepada kami kerana tidak tahan apabila turut mengalami kesukaran berjalan akibat kesakitan. Doktor sebelum ini gagal mengenal pasti punca masalahnya, malah selama bertahun-tahun dia diberi ubat jantung kerana itu disangka punca sakitnya.” - Daily Mail

Disiarkan pada: December 17, 2017 @ 7:11am
d