global

10 tahun merajuk

Oleh Agensi

Beijing: Gara-gara merajuk dengan isteri, seorang lelaki keluar rumah dan tinggal di lapangan terbang Beijing sejak 10 tahun lalu.

Wei Jianguo, 53, keluar rumah selepas bertengkar dengan isterinya pada 2008 dan sejak itu dia menikmati hidup dengan selesa di lapangan terbang kedua paling sibuk di dunia itu.

Lelaki itu berkata, dia diberhentikan kerja pada 2008 dan menerima bantuan kerajaan sebanyak 1,000 yuan (RM620) pada setiap bulan.

Katanya, kerana sukar mencari kerja dia sering berada di rumah dan minum minuman keras hingga menyebabkan isterinya marah.

“Isteri saya tidak benarkan saya minum arak di rumah, jadi saya tidak mahu lagi pulang ke rumah,” katanya.

Sejak itu dia tinggal di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing yang mempunyai tiga terminal dan dikunjungi 9.4 juta penumpang pada 2016.

Wei yang ditemui wartawan Pear Video berkata, keadaan di dalam lapangan terbang itu panas dan selesa. Dia juga boleh minum dan makan sesuka hatinya.

Dia mempunyai dapur bergerak dan menggunakan dapur elektrik untuk memasak makanan.

Wei juga menyediakan tempat tidurnya yang dialas dengan selimut dan semua barangan keperluannya diletakkan di dalam troli.

Kadangkala Wei keluar dari lapangan terbang itu untuk membeli barangan keperluan dan makanan di kedai berhampiran.

Keluarga Wei pernah memujuk lelaki itu untuk pulang ke rumah tetapi dia enggan.

Pihak pengurusan lapangan terbang juga pernah cuba meminta Wei keluar, namun dia tetap berada di terminal.

Disiarkan pada: December 21, 2017 @ 8:47am
d