global

Polis minta hormati perayaan Krismas

Oleh Reuters

Jakarta: Polis Indonesia semalam meminta semua pihak supaya mengamalkan sikap toleransi dan menghormati sambutan perayaan keagamaan orang lain.

Gesaan dibuat selepas sebuah kumpulan Islam mengancam menyerbu premis perniagaan bagi memeriksa pekerja Islam yang dipaksa memakai topi Santa Claus atau perhiasan Krismas yang lain.

Barisan Pembela Islam (FPI) pada minggu lalu memberitahu, pihaknya akan melakukan operasi pembersihan terhadap premis perniagaan yang memaksa pekerja Islam memakai pakaian Krismas.

“Tidak ada operasi pembersihan. Anggota masyarakat perlu menghormati agama lain yang menyambut perayaan itu,” kata Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian.

FPI mendakwa orang Islam dilarang menyambut perayaan agama lain dan tindakan seperti itu melanggar hak asasi manusia.

Operasi itu juga bertujuan menguatkuasakan fatwa dikeluarkan Majlis Agama Islam Indonesia 2016 yang melarang pemilik perniagaan memaksa pekerja memakai pakaian Krismas.

“Kami dengan ditemani polis akan menyerbu premis perniagaan bagi menghalang mereka yang masih degil,” kata Ketua FPI Jakarta, Novel Bakmukmin.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 9:28am
d