global

133 kematian akibat Tembin

Oleh AFP

Manila: Kematian akibat ribut tropika di Filipina melonjak kepada 133 semalam selepas penyelamat menemui puluhan mayat di dalam sebatang sungai, kata polis.

Ribut Tropika Tembin membadai pulau kedua terbesar Filipina, Mindanao, sejak kelmarin seterusnya mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh.

Filipina dibadai 20 ribut besar secara purata setiap tahun dengan kebanyakannya membawa maut. Namun Mindanao yang mempunyai 20 juta penghuni jarang dilanda bencana seperti itu.

Semalam, penyelamat menemui 36 mayat di Sungai Salog, Mindanao, manakala wilayah Zamboanga melaporkan lebih banyak kematian.

Mayat berkenaan dipercayai mangsa yang dibawa arus dari pekan Salvador, Rando Salvacion, kata ketua polis Sapad. Pihak berkuasa turut menemui 17 mayat di hulu sungai.

Jumlah kematian di wilayah Zamboanga juga meningkat kepada 28, kata polis, manakala 81 orang dilaporkan hilang selepas tanah runtuh membawa batu dan lumpur membanjiri beberapa perkampungan nelayan.

Tembin melanda kurang seminggu selepas Ribut Tropika Kai-Tak meragut 54 nyawa manakala 24 masih dilaporkan hilang di tengah Filipina.

Disiarkan pada: December 24, 2017 @ 4:56am
d