global

Kematian Tembin cecah 200

Oleh AFP

Manila: Jumlah kematian akibat Ribut Tropika Tembin di selatan Filipina semalam mencecah 200 orang dalam banjir serta tanah runtuh yang melanda pelbagai perkampungan dan mengakibatkan puluhan ribu orang hilang tempat tinggal.

Tembin melanda Mindanao pada Jumaat lalu dengan kelajuan angin 125 kilometer sejam serta membawa hujan lebat, menyebabkan sekurang-kurangnya satu perkampungan di kaki gunung ditimbus tanah runtuh yang mengakibatkan operasi menyelamat besar-besaran dilakukan sepanjang hujung minggu lalu.

Menurut polis, 144 orang masih hilang manakala lebih 40,000 melarikan diri ke kem pemindahan sementara dengan ribut itu menghala ke Laut China Selatan, semalam.

Seramai 70,000 orang hilang tempat tinggal atau terkesan akibat ribut, kata Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah atau Bulan Sabit Merah (IFRC) yang turut memberi amaran hujan lebat dijangka menyukarkan usaha mencari mangsa terselamat.

Polis berkata, 135 orang terbunuh dan 72 hilang di utara Mindanao, manakala 47 maut serta 72 tidak dapat dikesan di Zamboanga, barat pulau itu. Seramai 18 lagi maut di Lanao del Sur, tengah Mindanao.

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 12:49am
d