global

Si comel Bettie Bee bermuka dua [VIDEO]

Oleh Agensi

KUCING ini, Bettie Bee, baru berusia 11 hari namun sudah menjadi bintang internet kerana memiliki dua muka dengan tiga mata, dua hidung dan dua mulut.

Lebih menakjubkan anak kucing ini masih hidup dan sihat selepas dilahirkan di Afrika Selatan pada 12 Disember lalu, bersama dua saudara kembarnya yang normal kerana kucing bermuka dua yang digelar ‘Janus’, biasanya tidak hidup lama.

Menurut laporan Daily Mail, pada awal kelahirannya doktor haiwan mencadangkan Bettie Bee dimatikan kerana menjangka ia tidak akan hidup lama namun seorang wanita yang berkemahiran menjaga kucing kurang upaya, mengambilnya untuk dipelihara.

“Bettie Bee hebat dan unik dan bersemangat kuat untuk terus hidup.

“Kita tidak sepatutnya mematikan anak kucing seperti ini, tidak sakit dan saya mahu memberinya peluang untuk terus hidup,” kata wanita itu.

Kedua-dua mulutnya bersambung ke perut menyebabkan Bettie Bee diberi makan menggunakan tiub melalui kedua-dua mulut itu setiap dua jam 30 minit.

“Setakat ini ia sihat dan membesar seperti anak kucing normal,” katanya.

Mata tengah anak kucing itu sudah terbuka namun dua lagi matanya masih tertutup.

Wanita terbabit mewujudkan Facebook untuk Bettie Bee, menyiarkan gambar serta video perkembang anak kucing berkenaan dan sudah mempunyai lebih 40,00 pengikut.

Masih terlalu awal untuk meramalkan masa depan Bettie Bee sebagai kucing Janus namun penjaganya berharap ia akan hidup lama seperti kucing Janus terkenal, Frankenlouie, yang hidup selama 15 tahun.

Disiarkan pada: December 26, 2017 @ 7:12pm
d