global

Bapa durjana

Oleh Daily Mail

LELAKI dipenjara 12 tahun lapan bulan kerana menjadikan anak perempuannya hamba seks selama 22 tahun sehingga melahirkan lapan anak.

Domingo Bulacio, 57, tidak menunjukkan sebarang emosi ketika dijatuhkan hukuman atas pelbagai kesalahan seks pada akhir perbicaraannya di Santiago del Estero, Argentina.

Anggota keluarga perogol bersiri itu antara 50 saksi yang memberi keterangan sepanjang perbicaraannya. Bulacio, yang turut dipanggil Vernacho, ditahan sejak Januari tahun lalu.

Sebelum ditangkap, dia menghilangkan diri selama 45 hari dari kediamannya di Villa Balnearia, berhampiran Santiago del Estero, selepas anaknya mendapat bantuan pihak berkuasa mendakwa menjadi mangsa seks bapanya sejak berusia 11 tahun susulan ibunya dihalau dari rumah mereka.

Ujian DNA mengesahkan semua anak dilahirkan anaknnya hasil hubungan sumbang dengan bapanya itu. Enam daripada lapan kanak-kanak terbabit pada mulanya dipindahkan ke sekolah kebajikan berhampiran tetapi kini kembali bersama Antonia di rumah keluarga.

Bulacio digelar ‘Raksasa Villa Balnearia’ selepas penahanannya. Kes itu turut disamakan dengan penghambaan wanita Austria, Elizabeth Fritzl di tangan bapanya Josef selama 24 tahun di bilik bawah tanah rumahnya sehingga melahirkan tujuh anak, yang terbongkar beberapa tahun lalu.

Antonia sebelum ini dipetik akhbar tempatan mengakui menjadi hamba seks bapa dia sejak kecil manakala ada antara saudaranya yang menerima ancaman bunuh sejak dia mendedahkan penyeksaannya itu.

“Saya bimbangkan keselamatan diri dan anak-anak kerana keluarga bapa mengancam kami supaya menarik balik tuduhan terhadapnya. Mereka tidak peduli langsung apa yang dilakukannya.

“Dia begitu kejam, saya sering dipukul termasuk menggunakan bongkah kayu.

“Saya mahu dia mereput dalam penjara. Saya mahukan keadilan,” katanya.

Bulacio enggan memberi keterangan di mahkamah atau membuat rayuan meringankan hukuman, walaupun pendakwa meminta hakim memberikan hukuman penjara 15 tahun terhadapnya.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 6:07pm
d