global

'Rancangan jahat musuh'

Oleh AFP

Teheran: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menuduh musuh Iran membuat perancangan menyelinap masuk dan menyasarkan rejimnya, kali pertama dia mengulas kemelut yang melanda negara itu sejak beberapa hari lalu.

“Dalam kejadian beberapa hari lalu ini, musuh kita bersatu dan menggunakan segala keupayaan, wang, senjata, polisi serta perkhidmatan keselamatan untuk mencipta masalah bagi rejim Islam ini.

“Musuh sentiasa mencari peluang dan rekahan untuk menyelinap serta menyerang Iran.

“Hanya keberanian, pengorbanan dan keyakinan rakyat mampu menghalang musuh kita,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di media kebangsaan.

Sehingga semalam, 21 orang maut dalam kekacauan sejak lima hari lalu di seluruh negara yang bermula sebagai protes terhadap ekonomi sebelum tiba-tiba berubah menjadi bantahan terhadap rejim pemerintah.

Semalam, media kebangsaan melaporkan sembilan kematian baru, manakala ratusan orang ditahan dalam bantahan antipemerintah terbesar dilihat di negara itu sejak 2009.

Serangan di balai polis di Qahderijan, Isfahan, menyaksikan enam penunjuk perasaan terbunuh, manakala sekurang-kurangnya tiga bandar berhampiran lain turut berlaku keganasan yang menyebabkan anggota polis, Pengawal Revolusi dan orang awam terbunuh.

Tiada pemimpin yang mengetuai kekacauan itu, dan kebanyakannya di bandar serta pekan di wilayah lain, manakala Teheran cuma menyaksikan penunjuk perasaan pada Isnin lalu dengan kawalan ketat polis.

Semakin banyak keganasan berlaku, pihak berkuasa meningkatkan tangkapan dengan sekurang-kurangnya 450 orang ditahan di ibu negara sejak Sabtu, manakala 100 lagi di Isfahan, Isnin lalu.

Jurucakap Pengawal Revolusi Esmail Kowsari berkata, pihaknya tidak akan mencampuri tunjuk perasaan tetapi meminta orang awam melaporkan ‘elemen hasutan.’

“Kami tidak akan membenarkan ketakstabilan berlaku di Teheran. Jika itu berlaku, pegawai akan mengambil tindakan menamatkannya,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 8:38am
d