global

Wanita Islam tanding Presiden Russia

Oleh Agensi

WANITA dari Dagestan, Aina Gamzatova, 46, secara rasmi mengumumkan beliau akan bertanding menentang Vladimir Putin bagi merebut jawatan Presiden Russia dalam pilihan raya Mac 2018.

Menurut Al-Jazeera, ratusan penyokongnya berkumpul bersamanya di Makhachkala, ibu negeri Dagestan, dua hari selepas beliau membuat pengumuman itu melalui meraikan Facebook.

Siapa Aina? Beliau ialah pemilik syarikat media terbesar Islam di Russia, Islam.ru yang mempunyai televisyen, radio dan media cetak, menulis buku mengenai Islam dan menguruskan pertubuhan kebajikan.

Suaminya, Akhmad Abdulaev, ialah Mufti Dagestan - wilayah Russia yang bergolak berikutan perebutan antara pemberontak, suku kaum dan tentera kerajaan yang sudah mengorbankan ribuan orang.

Beliau pengikut Sufi yang mempunyai puluhan ribu pengikut. Ketua mereka, Said-Afandi Chirkavi, terbunuh dalam serangan bom nekad penyerang wanita di Caucasus pada 2012.

Suami pertamanya yang juga pemimpin kumpulan Islam, Said Muhammad Abubakarov, terbunuh dalam letupan bom kereta pada 1998.

Keputusan Aina untuk bertanding menjadi topik perbualan utama dalam kalangan penduduk Islam minoriti di Russia.

Walaupun ramai mengakui hakikat sukar untuknya menang namun ia suatu pencapaian memberangsangkan jika setiap penduduk Islam Russia berjumlah 20 juta orang daripada 140 juta penduduk Russia mengundi.

Aina boleh meraih sokongan besar di Dagestan dan Caucasus Utara yang akan mencalarkan imej Putin dengan isu kadar pengangguran tinggi di wilayah berkenaan.

Namun, Aina menegaskan tidak mahu pencalonannya itu dilihat dari segi agama atau usaha umat Islam menampilkan saingan kepada Putin.

Beliau mahu Kremlin bertegas terhadap pemberontak yang mahu menubuhkan negara Islam Wahhabi di Caucasus Utara.

Dalam artikelnya yang disiarkan Islam.ru, Aina berkata: “Saya perlu menunjukkan secara jelas dan memberi sokongan peringkat kebangsaan terhadap usaha membendung Wahhabism di wilayah terbabit.”

Peningkatan jumlah kumpulan bersenjata bermula pada 1990-an dengan kedatangan ribuan pejuang dari negara Islam menyertai pejuang Chechnya dan sebahagian besarnya adalah dari Arab Saudi yang tidak sehaluan dengan Sufi.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 4:20pm
d