global

Perlu bayar balik kos dibesarkan ibu

Oleh AFP

MAHKAMAH tertinggi Taiwan mengarahkan seorang doktor gigi membayar NT$22.33 juta (RM3 juta) kepada ibunya sebagai pampasan perbelanjaan wanita itu membesar serta mendidiknya.

Mahkamah Agung Taiwan semalam, mengesahkan keputusan mahkamah lebih rendah supaya lelaki dikenali sebagai Chu, 41, itu menghormati kontrak ditandatangani dengan ibunya 20 tahun lalu.

Dalam kontrak berkenaan, Chu berjanji membayar balik wang ibunya yang dibelanja untuk membesar dan memberi pendidikan kepadanya.

Ibunya, Lou, bercerai pada 1990 dan membesarkan dua anak lelakinya, termasuk Chu bersendirian.

Bimbang tiada siapa menjaganya pada usia tua, Lou membuat kontrak dengan dua anaknya ketika mereka berusia 20 tahun, mensyaratkan mereka membayarnya 60 peratus daripada untung bersih pendapatan masing-masing.

Menurut laporan media Taiwan, Lou mendakwa anaknya tidak mengendahkannya apabila mula mempunyai teman wanita malah mendakwa kekasih anaknya menghantar surat kepadanya menerusi peguam masing-masing supaya ‘tidak mengganggu’ anaknya itu.

Berikutan itu, Lo memfailkan saman lapan tahun lalu selepas mereka enggan memenuhi syarat kontrak terbabit.

Menurut Lou, Chu memiliki klinik sendiri dengan purata pendapatan bulanannya lebih NT$2.5 juta (RM340,275) dan meminta anaknya itu membayar NT$25 juta (R3.4 juta) berdasarkan kontrak.

Anak sulungnya membayarnya NT$5 juta (RM680,000) untuk menyelesaikan kes itu.

Anak bongsunya, Chu, bagaimanapun mendakwa kontrak itu melanggar ‘amalan baik’ kerana membesarkan anak tidak sepatutnya dihitung dari segi kewangan, seterusnya mencabar ibunya di mahkamah.

Lo kemudian membuat rayuan sehingga ke Mahkamah Agung selepas dua mahkamah rendah sebelumnya, memihak kepada anaknya.

Menurut Mahkamah Agung, kontrak itu sah kerana Chu sudah dewasa ketika menandatanganinya, malah sebagai doktor gigi dia mampu membayar.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 9:20pm
d