global

Biri-biri pun ketagih rokok [VIDEO]

Oleh Agensi

SEEKOR biri-biri di Mandya, negeri Karnataka di selatan India menjadi perhatian kerana ketagih rokok, bukannya rumput hijau seperti kambing lain.

Biri-biri itu sering dilihat merayau-rayau sekitar kedai kopi dan pasar mencari puntung rokok dibuang orang ramai.

Selain rokok, biri-biri itu juga makan tembakau ‘sogek’ iaitu tembakau untuk dikunyah.

Menurut Daily Mail, pemilik haiwan itu, Yashwant, berkata dia menyedari biri-birinya itu sukakan rokok selepas melihatnya memakan puntung rokok bersama rumput.

“Ia makan sisa tembakau sogek yang dibuang dan kini, ketagihannya membawa kepada memakan rokok,” katanya kepada Newsflare.

Petani di India menggunakan sejumlah kecil tembakau bagi merawat parasit dan cacing dalam perut ternakan. Namun, jika ternakan sakit teruk, mereka memberi tembakau dalam jumlah yang banyak.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 11:10pm
d