global

Rangka wanita dalam tong bersimen

Oleh Agensi

RANGKA seorang wanita ditemui dalam tong drum plastik bersimen semalam, selepas dilihat terapung dalam tasik di Kochi, India, sejak kira-kira setahun lalu.

Menurut penduduk tempatan, tong berkenaan terapung dalam tasik berkenaan selama hampir setahun namun mereka menyangka ia tong yang dibuang.

Bagaimanapun, dua bulan lalu, tong itu dibawa dan ditinggalkan di tebing ketika proses pembersihan tasik.

Menurut Hindustan Times, hujung minggu lalu, penduduk tempatan ternampak semut menghurung tong berkenaan lalu menghubungi polis.

Tong berkenaan dipecahkan bersama konkrit di dalamnya dan polis terkejut menemui rangka manusia.

Pakar forensik mengesahkan rangka itu milik wanita berusia 30-an dan sudah mati sekurang-kurangnya setahun.

Polis mengesyaki mangsa dibunuh dan mayatnya disumbat ke dalam tong sebelum dituang konkrit.

“Rangka itu ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat. Kami akan memeriksa fail orang hilang bagi mengenal pasti identiti mangsa,” kata seorang pegawai kanan polis.

Tiga bulan sebelum ini, mayat seorang lelaki yang diikat turut ditemui di kawasan itu dalam karung yang dipenuhi batu dan blok konkrit.

Polis menyiasat kemungkinan kedua-dua mayat mempunyai kaitan.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 8:09pm
d