global

850 kilometer bawa dendam kesumat

Oleh Agensi

SEORANG peniaga dalam talian sanggup membuat perjalanan sehari semalam, sejauh 850 kilometer ke Zhengzhou, wilayah Henan, China, semata-mata bagi membelasah pelanggan wanita yang membuat aduan lewat menerima barangan dipesannya.

Pelanggan itu, Xiao Die, ditumbuk muka dan badan sebelum ditolak jatuh ke jalan raya oleh lelaki berkenaan yang menjerit memberitahu dia mengambil masa sehari semalam untuk datang ‘mengajar’ wanita terbabit pada 27 Disember lalu.

Menurut laporan Zhengzhou Evening Post yang dipetik Daily Mail, Xiao Die membeli pakaian berharga 300 yuan (RM185) pada 20 Disember melalui laman web beli-belah dalam talian Taobao yang dikendalikan Alibaba.

Bagaimanapun, barangannya tidak sampai selepas tiga hari menyebabkan wanita itu membuat aduan kepada agensi pemantau perniagaan elektronik.

Serangan itu yang berlaku di tempat mengambil barangan dipesan wanita berkenaan di Zhengzhou, dirakam CCTV berdekatan.

Dalam laporannya kepada polis, Xiao Die percaya lelaki itu ialah Zhang, pemilik kedai dalam talian yang menghantar banyak pesanan teks mengugutnya, termasuk ‘saya boleh musnahkan awak.’

Selain lebam dan calar-calar pada mukan dan badan, Xiao Die juga retak tulang siku.

Polis Zhengzhou kemudian pergi ke Suzhou dan menahannya serta dibawa ke Zhengzhou untuk siasatan pada 6 Januari.

Menurut Taobao, bonus Zhang dipotong 12 mata berikutan aduan Xiao Die.

Selepas kejadian serangan itu, akaun kedai Zhang dikeluarkan dari senarai Taobao.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 10:37pm
d