global

Polis dikecam tidak usaha cari Zainab

Oleh Agensi

INILAH gambaran lelaki yang disyaki menculik Zainab Ansari, kanak-kanak perempuan lapan tahun yang mayatnya ditemui dalam tong sampah di tepi jalan di Kasur, Punjab, dipercayai dicekik selepas diperkosa.

Polis Pakistan mengedarkan lakaran wajah lelaki terbabit berdasarkan rakaman CCTV menunjukkan budak malang itu dibawa seorang lelaki ketika pulang dari kelas mengaji al-Quran pada 4 Januari lalu.

Ketika kejadian Zainab tinggal bersama ibu saudara kerana ibu bapanya berada di Makkah menunaikan umrah.

Keluarga ibu saudaranya membuat laporan polis mengenai kehilangannya keesokannya malah mereka yang berusaha mendapatkan rakaman CCTV itu, bukannya polis yang dikecam penduduk kerana dianggap tidak berusaha menyiasat kes berkenaan.

Dalam rakaman itu, Zainab dilihat berjalan memegang tangan lelaki tidak dikenali itu.

Pada 9 Januari, polis menemui mayatnya dalam tong sampah di tepi jalan dan menurut laporan media tempatan, Ketua Polis Kasur, Zulfiqar Hameed, berkata bedah siasat mendapati mangsa diperkosa sebelum dicekik hingga mati sekurang-kurangnya lima hari sebelum mayanya ditemui.

Menurut laporan Indian Express, bapa mangsa, Ameen Ansari, yang pulang dari Makkah semalam, mendakwa polis tidak memberi kerjasama yang baik terhadap kes berkenaan.

“Saudara-mara dan jiran beritahu polis datang, makan dan kemudian berlalu pergi. Selepas itu mereka tidak berbuat apa-apa.

“Rakan dan ahli keluarga yang berusaha siang dan malam mencari anak saya,” katanya.

Kemarahan orang ramai terhadap kes itu menyaksikan ribuan orang memenuhi jalan raya beberapa jam sebelum jenazah Zainab dikebumikan semalam, menyebabkan dua terbunuh akibat ditembak polis yang mendakwa diserang perusuh.

Ketua Menteri Punjab Shehbaz Sharif dan Ketua Polis Punjab menjadi sasaran kecaman orang ramai yang mendakwa polis gagal menyelesaikan puluhan kes jenayah terhadap kanak-kanak, termasuk dirogol dan dibunuh.

Antara ‘posting’ di media sosial berbunyi: “Gambar lelaki disyaki menculik dan membunuh Zainab sudah ada, kenapa dia masih bebas? Tak bolehkah pihak berkuasa menahannya?”

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 6:03pm
d