global

Tarah lima bukit demi anak [VIDEO]

Oleh Agensi

SEORANG lelaki di perkampungan terpencil di Orissa, India, sudah siap membina jalan sepanjang lapan kilometer merentasi lima bukit dan hutan menghubungkan kampungnya dengan pekan terdekat agar tiga anaknya sering pulang melawatnya.

Tiga anak lelakinya tinggal di asrama kerana perjalanan dari rumah ke sekolah sejauh 9.6 kilometer mengambil masa tiga jam merentas lima bukit.

Sejak dua tahun lalu, Jalandhar Nayak, 45, keluar dari rumah setiap pagi membawa penggali, cangkul dan besi pencungkil, bekerja kira-kira lapan jam sehari - menebas, meratakan tanah, memecah dan mengalihkan batu.

Menurut BBC, selepas beritanya disiarkan di media India bulan lalu, kini kerajaan tempatan kawasan itu menyatakan mereka akan menyiapkan baki jalan berkenaan.

Pihak berkuasa juga akan membayar upah kepada Jalandhar bagi jalan yang sudah itu yang agak berkualiti kerana boleh dilalui kereta.

Apabila jalan itu siap, ia akan menghubungkan kampung Jalandhar dengan pekan sekolah anaknya.

Jalandhar, penjual sayur yang tidak pernah bersekolah berkata, dia berharap anak-anaknya dapat pulang sekerap mungkin pada hujung minggu atau cuti sekolah apabila jalan itu siap.

“Anak-anak saya beritahu sukar untuk berjalan merentasi laluan sempit dan berbatu ketika pergi dan balik sekolah.

“Mereka sering jatuh ketika berjalan di atas batu lalu memutuskan untuk membina jalan merentasi bukit,” katanya yang berharap kerajaan membekalkan elektrik dan air ke kampung berkenaan.

Wartawan tempatan, Sibashakti Biswal, yang pertama menyiarkan berita Jalandhar itu berkata: “Saya kagum dengan keazamannya dan tiada satu pun pokok ditebang ketika dia membina jalan itu,” katanya.

Ramai membandingkan Jalandhar dengan Dashrath Manjhi yang menghabiskan 22 tahun menebuk gunung bagi membina jalan demi sayangnya kepada isteri yang meninggal dunia.

Isteri Dashrath, Falguni, meninggal dunia akibat kemalangan pada 1959 selepas tidak dapat menerima rawatan kerana bandar terdekat hanya boleh sampai dengan berjalan kaki mengelilingi gunung sejauh 54 kilometer.

Dashrath yang tidak mahu penduduk mengalami nasib sama seperti isterinya, menebuk gunung sepanjang 109 meter, sembilan meter lebar, hanya menggunakan tukul dan pahat, memendekkan laluan kepada 15 kilometer.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 6:39pm
d