global

Ribuan bantah diskriminasi Facebook

Oleh Reuters

Jakarta: Ratusan ribu orang mengadakan bantahan di luar ibu pejabat Facebook di Jakarta, semalam, kerana mendakwa gergasi media sosial itu bertindak secara diskriminasi apabila menyekat beberapa laman dilaksanakan kumpulan berhaluan kanan.

Penunjuk perasaan yang kebanyakannya berpakaian putih dan turut merangkumi Barisan Pembela Islam (FPI), berarak dari sebuah majlis selepas solat Jumaat ke pejabat Facebook di ibu negara.

Perhimpunan diadakan secara aman, walaupun lebih 1,200 anggota polis dikerahkan mengawal keselamatan, lapor media. Beberapa peserta turut membuat lintas langsung yang disiarkan melalui Facebook.

Jurucakap FPI, Slamet Maarif berkata: “Kami mahu mengingatkan Facebook supaya berkecuali dan seimbang. Banyak akaun menyebarkan kebencian mengenai Islam serta ulama yang dibenarkan beroperasi.

“Ada juga akaun yang bercakap mengenai bantuan kemanusiaan Islami yang disekat.”

Katanya, kumpulan itu masih merancang menggunakan Facebook, malah mahu membuka akaun baru.

Sementara itu, Facebook berkata, polisinya untuk memadamkan sebarang kandungan yang melanggar standard kemasyarakatannya.

“Standard itu penting untuk menghalang organisasi atau individu menyebarkan kenyataan benci atau keganasan terhadap mereka yang berpendirian berbeza,” kata wakil syarikat yang enggan dikenal pasti.

Jurucakap kementerian komunikasi, Semuel Pangerapan berkata, pihaknya tidak pernah meminta supaya akaun FPI ditutup.

Segelintir kumpulan dianggap radikal di Indonesia menggunakan media sosial secara meluas. FPI mempunyai kira-kira 100 akaun di Facebook, selain platform media sosial lain seperti Twitter.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap penyebaran berita palsu dan kenyataan benci di dalam talian serta berjanji ‘membelasah’ mana-mana kumpulan yang mengancam keamanan dengan cara itu.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 12:58am
d