global

Nak potong rambut? Guna api saja...

Oleh Daily Mail

SATU rakaman mengejutkan menunjukkan seorang lelaki menggunakan api untuk memotong rambutnya sendiri.

Rakaman yang dipercayai diambil di Brazil dan dimuat naik dalam laman perkongsian video, Liveleak itu menunjukkan dia menutup telinganya sebelum mula membakar seluruh rambutnya.

Tanpa berbaju dan memakai seluar pendek berwarna merah, lelaki itu duduk di atas kerusi dan hanya menggunakan cermin sebagai panduan.

Dia kemudian memegang sesuatu seperti batang kayu yang dinyalakan dengan api di atas rambutnya yang sudah sedia pendek dan membakarnya sedikit demi sedikit.

Sebaik membakar sebahagian rambutnya, dia menepuk api terbabit menggunakan tangan tanpa menunjukkan sebarang kesakitan atau kesukaran.

Tahun lalu, tukang gunting rambut di India menjadi tajuk utama selepas menggunakan teknik sama untuk menggunting rambut.

Rakaman di dalam salun rambut menunjukkan tukang gunting berkenaan menuang serbuk dan cecair mudah terbakar di atas kepala pelanggannya sebelum menyalakan api dan menggunakan dua sikat untuk memotong serta menggayakan rambut mengikut kehendak pelanggan.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 12:08pm
d