global

Kelar leher anak, isteri

Oleh Agensi

LELAKI Korea Selatan ditahan kerana disyaki membunuh isteri dan anak lelakinya berusia tujuh tahun di sebuah hotel mewah di Hong Kong, hari ini.

Polis dikerah ke Hotel Ritz-Carlton pada awal pagi, selepas lelaki itu menghubungi rakannya di Korea Selatan pada 7 pagi mendakwa dia sekeluarga mahu membunuh diri.

Menurut South China Morning Post, rakan berkenaan terus menghubungi polis negaranya yang seterusnya memaklumkan pejabat konsulat di Hong Kong.

Menurut sumber, pasangan terbabit bertengkar sebelum kejadian itu.

Polis yang tiba di tempat kejadian menemui suspek hanya berseluar dalam dan dalam keadaan separuh sedar manakala mayat isteri serta anaknya dengan kesan kelar pada leher ditemui dalam bilik air. Pisau berukuran 13 sentimeter turut ditemui di tempat kejadian.

Sumber berkata: “Lelaki itu nampak keliru dan tidak mampu menjawab soalan. Buat masa ini kami masih belum jelas sama ada dia mabuk atau khayal akibat dadah.

“Malah kami juga tidak dapat memastikan sama ada isteri dan anaknya sebenarnya sudah mati ketika dia menghubungi rakannya di Korea Selatan.”

Lelaki itu kini ditahan di Hospital Queen Elizabeth. Keluarga itu dipercayai tiba di Hong Kong pada 6 Januari lalu dan bercuti di Macau sebelum kembali ke hotel berkenaan, empat hari lalu.

Disiarkan pada: January 14, 2018 @ 10:13pm
d