global

30 cedera runtuhan BEI Indonesia

Oleh Agensi

KIRA-KIRA 30 orang dilaporkan cedera selepas balkoni tingkat dua bangunan Bursa Saham Indonesia di Jakarta, runtuh hari ini.

Menurut laporan media tempatan, termasuk Metro TV Indonesia, puluhan orang dilihat keluar menyelamatkan diri dari Menara II Bursa Efek Indonesia (BEI).

Detik News melaporkan, selain luka-luka, ada mangsa yang patah tulang.

Difahamkan, kebanyakan mangsa ialah pelajar Bina Darma Palembang yang sedang melakukan kunjungan.

Ketua Pembangunan Perniagaan bursa, Triana Tambunan, berkata jumlah mangsa yang cedera kira-kira 30 orang dengan tiga patah tulang.

Imej yang tersebar di media sosial menunjukkan struktur logam rosak dan runtuh di sekitar kafe Starbucks berhampiran pintu masuk bangunan berbilang tingkat itu.

Imej televisyen menunjukkan orang ramai duduk di tangga di luar bangunan.

Polis Jakarta memberitahu, pihak berkuasa sedang mengumpul maklumat kejadian itu namun siasatan awal menunjukkan balkoni yang runtuh itu tiada kena mengena dengan bom atau letupan.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 3:28pm
d