global

Tiga bangunan runtuh

Oleh Agensi

Brussels: Dua orang terbunuh, manakala 14 lagi cedera selepas satu letupan yang dipercayai berpunca daripada kebocoran paip gas di bandar Antwerp memusnahkan tiga bangunan.

Pasukan penyelamat menemui dua mayat di bawah sisa runtuhan semalam selepas bangunan itu runtuh dalam kejadian lewat kelmarin.

“Polis mengesahkan dua lagi mangsa ditemui di bawah runtuhan bangunan. Kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia dan identiti mereka belum dikenal pasti,” kata polis di Twitter.

Beberapa mangsa sebelum ini ditemui selamat dan dibawa keluar dari runtuhan pada malam kelmarin.

Dalam kejadian di kawasan Paardenmarkt, tengah Antwerp itu lima mangsa dilaporkan cedera parah, manakala seorang lagi dalam keadaan kritikal.

Polis memberitahu, pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu tetapi menolak ia adalah satu serangan pengganas.

Stesen penyiaran berbahasa Perancis, RTBF melaporkan, kebocoran gas kemungkinan punca letupan yang berlaku pada jam 9.30 malam (waktu tempatan) itu.

Bagaimanapun, laporan itu masih belum dapat disahkan oleh pihak berkuasa.

Belgium sebelum ini berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak 16 terbunuh dalam siri serangan bom di Brussels pada Mac 2016.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 12:20am
d