global

Gunung Mayon muntah lahar, debu

Manila: Gunung berapi paling aktif di Filipina mula memuntahkan lahar dan debu ke pekan berhampiran, kata pakar gunung berapi semalam, lalu memaksa kerajaan wilayah menutup lebih banyak sekolah.

Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) merekodkan sembilan gegaran dan empat daripadanya disertai dengan lahar di Gunung Mayon.

Sebanyak 75 runtuhan lahar turut dicatatkan berikutan tekanan mula berlaku mencetuskan aliran lahar dan debu.

Ia sekali gus memberi petanda bahawa letusan gunung berapi terbabit akan berlaku bila-bila masa.

Gunung Mayon terletak di kawasan penanaman kelapa di Bicol tengah, semakin aktif sejak Sabtu lalu menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.

Philvocs memberitahu, aliran lahar dan debu piroklastik sudah menghampiri kawasan yang dikosongkan dengan penduduk sejauh enam kilometer radius.

Kerajaan wilayah Albay menutup lebih banyak sekolah bagi membolehkan bangunan itu digunakan sebagai pusat perlindungan sementara bagi penduduk yang dipindahkan. - Reuters

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 11:08am
d