global

75 tuduhan, ikat jamin RM51 juta

Oleh AFP

PASANGAN suami isteri yang mengurung dan merantai 13 anak mereka dalam rumah di California, Amerika Syarikat, menghadapi 75 tuduhan, termasuk penyeksaan, pengurungan, mendera dan kesalahan seksual.

Louise Turpin, menghadapi 37 tuduhan manakala suaminya, 38 tuduhan ketika dihadapkan ke Mahkamah Daerah Riverside, hari ini.

Kedua-dua mereka menghadapi 12 tuduhan menyeksa, 12 tuduhan mengurung dengan cara salah, tujuh tuduhan mendera orang dewasa dan enam tuduhan mendera kanak-kanak.

David menghadapi satu tuduhan salah laku seksual terhadap anak perempuannya berusia bawah 14 tahun.

Mahkamah menetapkan ikat jamin AS$13 juta (RM51 juta) setiap seorang iaitu AS$1 juta (RM3.9 juta) bagi setiap seorang anak yang mereka dera.

Peguam Daerah Riverside, Attorney Mike Hestrin, berkata jika sabit kesalahan semua tuduhan, pasangan itu menghadapi hukuman penjara 94 tahun sehingga seumur hidup.

Polis di Perris, bandar di selatan Los Angeles, menemui tiga kanak-kanak dirantai dalam bilik kotor dan busuk di rumah mereka selepas menerima panggilan kecemasan daripada seorang anak pasangan itu berusia 17 tahun yang berjaya melepaskan diri.

Tubuhnya yang kurus dan kecil menyebabkan polis menyangka dia adalah kanak-kanak.

Polis pada mulanya menyangka semua 13 mangsa itu adalah kanak-kanak namun terkejut apabila mendapati tujuh mangsa berusia antara 18 hingga 29 tahun.

Kesemua mereka sedang dirawat kerana kekurangan zat serta menjalani pemeriksaan perubatan.

Menurut Hestrin, semua mereka menjadi mangsa dera dalam tempoh yang lama dan hanya dibenarkan mandi satu atau dua kali setahun serta tidak boleh berjumpa doktor dan doktor gigi.

“Malah, ke bilik air pun mereka masih dirantai.

“Mereka juga diberi makanan yang sedikit, mengikut jadual,” katanya.

Namun, sehingga kini pihak berkuasa tidak menyatakan kenapa pasangan suami isteri itu melakukan kekejaman terbabit terhadap anak mereka kerana tiada tanda penderaan seksual atau dipukul atau anak-anak terbabit mengalami masalah mental atau ada kaitan dengan kumpulan agama.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 6:13pm
d