global

Duterte pernah suruh telan peluru

Oleh AFP

KEGIATAN kakitangan lapangan terbang Filipina memeras ugut penumpang dengan memasukkan peluru dalam bagasi, terhenti pada 2016 selepas Presiden Rodrigo Duterte memberi amaran akan memaksa mereka yang melakukan perbuatan itu menelan peluru terbabit.

Hari ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila memecat kontraktor pengendali bagasi berikutan aduan penumpang kehilangan barang mereka.

Semalam, Duterte memanggil pihak berkuasa lapangan terbang dan Menteri Pengangkutan, mengarahkan mereka menghentikan kecurian itu yang dianggap amat memalukan.

Pada 2015, kerajaan menyiasat dakwaan sindiket peras ugut membabitkan anggota keselamatan lapangan terbang yang memasukkan peluru dalam bagasi penumpang.

Mereka menuntut wang jika tidak mahu didakwa kerana hukuman bagi kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 12 tahun.

Peras ugut itu terhenti selepas pilihan raya 2016 selepas Duterte yang menang jawatan presiden berkata, beliua akan memaksa anggota keselamatan menelan peluru yang ditemui dalam bagasi penumpang.

Pengurus Besar lapangan terbang itu, Ed Monreal, berkata satu kontraktor pengendali bagasi membabitkan 14 syarikat penerbangan tidak diperbaharui kontrak selepas penumpang dua penerbangan membuat aduan barangan dalam bagasi mereka dicuri.

Pihak berkuasa lapangan terbang juga mengarahkan kontraktor lain memasang kamera badan pada pekerja, memasang CCTV di kawasan kerja serta membuang semua poket dari pakaian seragam.

Menurut Monreal, rakaman CCTV mengesahkan kecurian itu, termasuk barangan disorok dalam but.

Mereka juga sudah membuat laporan polis terhadap sejumlah pekerja yang disyaki mencuri itu.

Lapangan terbang itu mengendalikan 20.4 juta penumpang tahun lalu namun disenaraikan di tangga teratas sebagai lapangan terbang terburuk laman web ‘The Guide to Sleeping in Airports’ antara 2011-2013.

Penumpang mengadu mengenai pekerja tidak jujur, pegawai tidak beradab dan masa menunggu yang lama.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 7:22pm
d