global

Siasat rakan pinjamkan jam tangan mewah

Oleh Agensi

Bangkok: Suruhanjaya Antirasuah Nasional (NACC) akan menyoal siasat empat individu yang dipercayai rakan yang meminjamkan jam tangan mewah yang dipakai Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwon.

Presiden NACC, Watcharapol Prasarnrajkit berkata, pihaknya sudah menetapkan tarikh untuk bertemu individu berkenaan di lokasi yang dipersetujui mereka.

“Mengikut prosedur, soal siasat boleh dilakukan di pejabat NACC atau di lokasi lain,” katanya yang dipetik Bangkok Post semalam.

Prawit mencetuskan kontroversi selepas dia dilihat memakai koleksi jam tangan mewah.

Satu laman di Facebook menyiarkan gambar Prawit memakai sekurang-kurangnya 25 jam tangan mewah yang dianggarkan berjumlah 39.5 juta baht (RM4.9 juta).

Dia juga tidak mengisytiharkan jam tangan itu sebagai asetnya, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana dia mampu memilikinya dengan gaji sebagai pegawai tentera.

Prawit pada Selasa lalu memberitahu wartawan jam tangan itu dipinjam daripada rakannya dan ia sudah dipulangkan semula.

Bagaimanapun, alasan Prawit itu dikritik orang ramai yang menganggapnya sebagai tidak masuk akal.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 12:34am
d