global

17 maut kilang terbakar di India

New Delhi: Sekurang-kurangnya 17 pekerja terbunuh dalam kebakaran di sebuah kilang tiga tingkat di pinggir bandar ini kelmarin, kata seorang pegawai.

Kebakaran bermula di tingkat bawah tanah kilang pembuatan plastik di kawasan industri Bawana di utara New Delhi, yang disyaki turut digunakan untuk menyimpan bunga api.

Jurucakap ibu pejabat perkhidmatan kecemasan Delhi, Praveen Kumar berkata, api merebak dengan cepat ke tingkat atas bangunan berkenaan menyebabkan hampir 24 pekerja terperangkap.

Pasukan penyelamat mengambil masa hampir dua jam untuk memadamkan api, sementara operasi menyelamat dan mencari diteruskan sehingga lewat malam.

“Tujuh belas mayat dikeluarkan dari bangunan berkenaan. Dua orang mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital,” kata Kumar.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat tidak mengetahui nasib pekerja lain. Kebanyakan mangsa maut akibat lemas.

Kemalangan maut di tempat kerja adalah perkara biasa di India berikutan piawaian keselamatan dan penguatkuasaan yang lemah.

Pada November lalu, kebakaran besar juga di kilang plastik di bandar Ludhiana menyebabkan 13 orang terbunuh termasuk tiga anggota bomba yang maut apabila bangunan itu runtuh. - AFP

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 11:01am
d