global

Saya beli motor

Oleh Agensi

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dilaporkan membeli sebuah motosikal jenis chopper yang ditempah khas.

Motosikal Royal Enfield Bullet 350cc Chopperland itu dibeli daripada syarikat tempah khas motosikal tempatan Elders Garage dan Kickass Choppers.

Menurut laporan media tempatan, motosikal yang berwarna emas itu dibeli Jokowi pada harga Rp 140 juta (RM41,400) menggunakan wangnya sendiri.

Jokowi yang juga peminat muzik heavy metal dilaporkan tertarik dengan motosikal berkenaan yang dipamerkan ketika acara Sumpah Pemuda pada Oktober tahun lalu.

Selepas acara berkenaan, seorang wakil Jokowi bertemu pemilik motosikal berkenaan dan menyatakan hasrat pemimpin itu untuk membelinya.

Bagaimanapun, motosikal itu sudah dibawa untuk satu pameran motosikal di Jepun dan baru dibawa pulang ke Indonesia.

Berita mengenai perkara itu tular selepas pemilik syarikat berkenaan memuat naik gambar bersama motosikal itu dan mendakwa ia adalah milik Jokowi.

Sementara itu, Jokowi yang menerima motosikal itu di Istana Presiden kelmarin berkata, dia tertarik dengan bentuk motosikal itu, selain mahu menyokong produk tempatan.

“Ini bukanlah kali pertama saya terdorong untuk membeli produk tempatan.

“Saya melihat motorsikal ini mempunyai peluang cukup baik untuk dieksport di negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand dan Filipina,” katanya. - Agensi

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 11:01am
d