global

Mayon lelehkan lahar

Oleh AFP

PIHAK berkuasa Filipina akan melaksanakan pemindahan paksaan jika ada penduduk sekitar gunung berapi Mayon yang meletup semalam, enggan berpindah.

Setakat ini, lebuh 75,000 penduduk melarikan diri ke tempat selamat, termasuk ke pusat pemindahan sementara kerajaan sejak beberapa hari lalu.

Namun, ada penduduk yang meninggalkan tempat perlindungan pada waktu siang untuk mengerjakan ladang dan haiwan ternakan mereka dalam zon bahaya iaitu sembilan kilometer dari gunung berkenaan.

Maria Evelyn Grollo yang menguruskan pusat perlindungan di sebuah sekolah dengan lebih 4,000 orang di pinggir Legazpi berkata, ada yang berdegil walaupun datuk bandar mengeluarkan arahan tidak menghampiri kawasan larangan lereng gunung Mayon.

“Selain itu, ada penduduk yang enggan meninggalkan rumah mereka. Pihak berkuasa tempatan akan menguatkuasakan langkah pemindahan lebih tegas,” katanya.

Gunung Mayon setinggi 2,460 meter di Daraga, wilayah Albay, di selatan Manila itu antara gunung berapi paling aktif Filipina. Pihak berkuasa menutup lapangan terbang berdekatan selepas Mayon menghamburkan lahar dan abu ke udara sejak 24 jam lalu.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 6:11pm
d