global

41 korban hospital terbakar

Oleh AFP

SEKURANG-KURANGNYA 41 terbunuh dan lebih 80 lagi cedera dalam kebakaran sebuah hospital di Miryang, Korea Selatan, hari ini.

Video dimuat naik di media sosial menunjukkan pesakit dikeluarkan menggunakan tali oleh helikopter di atas bangunan Hospital Sejong dengan seorang lagi merangkak keluar dari tingkap untuk memanjat tangga.

Bangunan enam tingkat di Miryang itu menempatkan hospital dan juga rumah penjagaan.

Ketua jabatan bomba, Choi Man-Woo berkata: “Dua jururawat memberitahu mereka melihat api tiba-tiba bermula di bilik kecemasan.

Menurutnya, semua pesakit sudah dibawa keluar, namun proses memindahkan 15 pesakit yang berada di unit rawatan rapi di tingkat tiga bangunan berkenaan mengambil sedikit masa kerana bomba terpaksa menunggu kakitangan perubatan untuk menyelia proses itu.

Menurut Choi, semua mangsa yang maut berada di tingkat satu dan dua bangunan itu dengan beberapa lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Rakaman video dan imej menunjukkan bangunan itu diselaputi asap tebal dan dikelilingi beberapa kenderaan bomba.

Menurut polis, kira-kira 200 orang berada di Hospital Sejong apabila kebakaran berlaku.

Bencana itu berlaku hanya sebulan selepas 29 maut dalam kebakaran di pusat kecergasan di bandar Jecheon.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 2:57pm
d