global

Nutella... Oh Nutella! [VIDEO]

Oleh AFP

TINDAKAN sebuah pasar raya di Perancis menurunkan harga Nutella sehingga 70 peratus mencetuskan huru-hara apabila pelanggan berasak-asak untuk mengambil sebanyak mungkin sapuan coklat terkenal Itali itu.

Video di media sosial menunjukkan orang ramai berbaris panjang di luar rangkaian pasar raya Intermarche dan keadaan menjadi kacau-bilau apabila pelanggan menyerbu masuk.

“Orang ramai menyerbu masuk ke dalam sambil tolak menolak antara satu sama lain. Mereka turut memecahkan barangan lain.

“Keadaan menjadi seperti pesta liar. Kami hampir menghubungi pihak polis,” kata seorang kakitangan pasar raya.

Ketika dihubungi AFP, Intermarche memohon maaf kepada pelanggan dan terkejut dengan sambutan terhadap produk itu.

Harga Nutella biasanya 4.50 euro (RM22) namun selepas diskaun 70 peratus, harganya menjadi hanya 1.41 euro (RM7).

Seorang pengguna di laman Twitter, Kenny Le Bon memuat naik video orang ramai menyerbu produk itu dengan keterangan: “Biar betul?! Semua itu hanya untuk Nutella.”

Ferrero, syarikat Itali yang mengeluarkan Nutella berkata, keputusan mengurangkan harga itu dibuat Intermarche.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 5:47pm
d