global

'Maafkan ayah'

Oleh Daily Mail

Beijing: Seorang bapa yang terpisah dengan anak perempuannya selepas tercicir di stesen kereta api, 26 tahun lalu, akhirnya berjaya disatukan semula dengan zuriat yang kini berusia 32 tahun.

Xu Qibao menangis teresak-esak ketika memeluk erat anaknya, Chen Huihui sambil berulang kali meminta maaf.

“Maafkan ayah kerana gagal menjaga kamu dengan baik,” katanya.

Malangnya, Huihui tidak dapat menemui ibunya yang meninggal dunia beberapa tahun selepas kehilangannya kerana ‘terlalu merindukannya.’

Dua beranak itu dipertemukan semula pada 22 Januari lalu di Shanghai selepas Huihui memuat naik keinginannya menemui keluarga kandung di Internet, lapor akhbar Xinmin Evening News.

Huihui yang dilahirkan sebagai Xu Jinhui dan kini juga seorang ibu berkata, dia terpisah ketika dalam perjalanan dari Anhui, timur China, ke Hunan di selatan negara itu untuk melawat ibunya.

“Ketika itu saya bersama ayah dan ibu saudara. Kami terpaksa menukar kereta api di Shanghai dan ibu saudara meminta saya menunggu di luar kedai.

“Itu kali terakhir saya melihat mereka. Saya terpaksa merayau di jalanan Shanghai berseorangan selama tiga hari sebelum seorang petani dari Shandong menemui dan membawa saya pulang seterusnya membesarkan saya tetapi turut menukar nama saya,” katanya.

Menurutnya, sepanjang membesar dia tidak tahu sama ada perpisahan dengan keluarga sesuatu yang dirancang atau sebaliknya.

“Perkara itu membelenggu saya sepanjang 26 tahun lalu. Dari dulu saya tetap mahu mencari keluarga kandung walaupun ayah angkat terlalu baik orangnya,” katanya.

Sementara itu, Xu berkata, dia tidak berniat meninggalkan anaknya, malah selepas menyedari kehilangan kanak-kanak itu dia menghabiskan dua hari dan dua malam di stesen kereta api itu dalam usaha menjejaknya.

“Saya dan isteri dibelenggu rasa bersalah yang tidak terkata. Malah isteri meninggal dunia beberapa tahun kemudian kerana sakit akibat terlalu rindukan Huihui,” katanya.

Huihui menjejak Xu selepas menggunakan laman web sukarelawan, ‘Baby Come Home’ yang berusaha menghubungkan semula keluarga yang terpisah di China.

Selepas pencarian beberapa bulan, sukarelawan menemui kisah yang sepadan dengan kejadian yang menimpa Huihui seterusnya menguruskan ujian DNA antara kedua-dua pihak sebelum hasilnya membuktikan pertalian keluarga biologi mereka.

Pertemuan kemudian diadakan di sebuah hotel di Shanghai.

Menurut penyelia laman web itu, Beibei, organisasinya membantu 2,267 keluarga di China menjejak semula keluarga yang hilang.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 3:44am
d