global

Selamat hanyut empat hari

Wellington: Enam dewasa dan seorang bayi yang tidak sedarkan diri diselamatkan dari bot keselamatan di Lautan Pasifik selepas hanyut empat hari dalam cuaca terik tanpa bekalan air.

Mereka dipercayai terselamat selepas sempat memanjat ke atas bot kayu kecil itu selepas feri dinaiki karam, kata pihak berkuasa.

Kumpulan itu hanyut lebih 177 kilometer dari pulau utama terdekat tempat sebelum ditemui dengan puing dipercayai dari feri berkenaan dilihat di perairan sekitar mereka.

Feri membawa sekurang-kurangnya 50 penumpang itu membuat pelayaran antara dua pulau di Kiribati, kata Laksamana Pertama Pasukan Pertahanan New Zealand Darryn Webb.

Pihak berkuasa berkata, masih tidak jelas apa yang menyebabkan feri itu karam.

Pencarian anak kapal menggunakan pesawat tentera menggunakan radar untuk mengesan mangsa terselamat apabila menemui bot kecil berkenaan.

Susulan itu, pesawat berkenaan menurunkan bekalan kepada kumpulan berkenaan termasuk makanan, air dan radio, manakala bot nelayan menghala ke lokasi itu untuk mengambil mereka, semalam.

“Kami gembira kumpulan ini ditemui tetapi sedih mengenangkan nasib yang lain. Setakat ini tiada tanda-tanda mangsa lain yang terselamat,” katanya.

Ramai mempertikaikan kenapa Kiribati mengambil masa begitu lama untuk memaklumkan pihak berkuasa New Zealand mengenai kehilangan feri berkenaan.

Penyelamat New Zealand berkata, mereka cuma tahu mengenai kejadian itu pada Jumaat lalu, lapan hari selepas feri itu meninggalkan destinasi terakhirnya.

Kiribati negara terpencil dan miskin merangkumi 33 atol dengan 108,000 penduduk. - Agensi

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 10:55am
d