global

Trump arah Guantanamo terus dibuka

Oleh Reuters

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menandatangani arahan eksekutif untuk meneruskan operasi pusat tahanan tentera di Teluk Guantanamo.

Bekas Presiden AS, Barack Obama sebelum ini gagal menutup penjara yang dikritik komuniti dunia itu.

Dalam ucapan kepada Kongres, Trump menjelaskan dia hanya memenuhi janji kempen untuk meneruskan operasi penjara itu.

Penjara di pangkalan tentera AS di Guantanamo, Cuba itu dikhaskan untuk suspek pengganas antarabangsa.

“Sebelum masuk ke sini, saya sudah menandatangani perintah mengarahkan Setiausaha Pertahanan, Jim Mattis untuk meneliti semula dasar tahanan ketenteraan kita dan meneruskan pembukaan kemudahan tahanan di Teluk Guantanamo,” kata Trump.

Perintah eksekutif Trump itu memberi kuasa kepada tentera AS menambah tahanan dan mencadangkan suspek militan Daish mungkin dihantar ke penjara itu untuk kali pertama.

Obama menandatangani satu perintah pada hari pertama dia berkuasa pada 2009 untuk memulakan usaha menutup Guantanamo dalam tempoh setahun, namun rancangan itu digagalkan pembangkang Republikan di Kongres.

Sebaliknya, pentadbiran beliau mengurangkan jumlah tahanan kepada 41 daripada 242 sepanjang lapan tahun menjadi presiden.

Penjara itu dibuka bekas Presiden George W Bush untuk menahan suspek militan yang ditahan di luar negara selepas serangan 11 September dan ia adalah simbol amalan tahanan kejam yang mendedahkan AS kepada tuduhan penyeksaan.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 3:48am
d