global

Polis gagal cubaan curi 4 tan buah oren

Seville: Cubaan satu kumpulan penjenayah yang menggunakan dua kereta dan sebuah van untuk mencuri empat tan buah oren gagal selepas ditahan polis, baru-baru ini.

Polis Sepanyol memberitahu, cubaan mencuri buah oren itu terbongkar selepas mengesan dua kereta dan sebuah van dalam keadaan mencurigakan.

Pihak berkuasa mengesyaki sesuatu selepas kenderaan berkenaan tiba-tiba menukar arah selepas terserempak dengan kereta peronda.

Selepas mengejar kenderaan berkenaan selama beberapa minit, polis akhirnya berjaya menahan semua kenderaan itu dan lima lelaki di dalamnya.

Ketika membuat pemeriksaan, polis terkejut apabila mendapati sebuah kereta itu penuh dengan buah oren.

Beberapa kenderaan lagi turut dipenuhi dengan buah itu yang disimpan dalam beberapa guni besar.

Polis bandar ini turut berkongsi gambar di Instagram menunjukkan buah oren melimpah keluar selepas membuka pintu kereta berkenaan.

Selepas disoal siasat, semua suspek mengaku mencuri buah oren berkenaan dari satu gudang di bandar ini.

Menurut polis, semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan bakal didakwa atas tuduhan mencuri. - Agensi

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 10:49am
d