global

Tipu lumpuh kaut RM2.77j

Oleh Agensi

London: Seorang lelaki mengaku menipu dengan mendakwa lumpuh kaki dan tangan selama 15 tahun bagi menuntut bantuan kebajikan berjumlah £500,000 (RM2.77 juta).

Brian Matthews, 51, yang tiba di Mahkamah Diraja Truro kelmarin dengan menaiki sebuah skuter khas mengaku bersalah atas enam tuduhan memberi keterangan palsu dan dua tuduhan menipu.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah atas beberapa tuduhan lain.

Hakim Robert Linford menangguhkan hukuman bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan penuh dilakukan bagi mengetahui sejauh mana lelaki itu tidak berupaya.

Namun, Linford memberi amaran, Matthews mungkin berdepan hukuman berat kerana penipuan itu dilakukan dalam tempoh yang sangat lama.

“Berdasarkan keadaan ini kamu mungkin berdepan tempoh hukuman penjara yang panjang,” katanya.

Pendakwa raya, Jo Martin menggambarkan Matthews sebagai ‘manipulasi yang luar biasa’ kerana berjaya meyakinkan ramai pihak termasuk doktor bahawa dia lumpuh.

“Selama 15 tahun Matthews berjaya meyakinkan doktor dan mereka tidak membuat pemeriksaan yang lengkap kerana mempercayai lelaki itu,” jelasnya.

Menurutnya, sejak beberapa tahun lalu, penipuan lelaki itu mula terdedah apabila dia dilihat berjalan tanpa sebarang masalah langsung pada 2012.

“Pada 2017, Matthews membawa isterinya berjumpa doktor dan wanita itu menaiki kerusi roda yang ditolak suaminya.

“Polis pernah melawat kediaman Matthews dan mendapati skuter khas miliknya diletakkan jauh dari rumahnya serta dia dilihat berjalan tanpa sebarang alat bantuan,” jelasnya.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 12:52am
d