global

Syria terus guna senjata kimia

Beirut: Tentera rejim Presiden Bashar al-Assad disyaki menggunakan senjata kimia, dipercayai gas sarin dalam serangan udara terhadap bandar Saraqeb di wilayah Idlib, utara Syria, semalam, berikutan penduduk mengalami masalah pernafasan,

Mangsa perlu disembur dengan air yang banyak akibat serangan dari helikopter itu.

Menurut pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di Britain, laporan menyatakan bau gas yang busuk dikesan di beberapa bandar selepas serangan menyebabkan penduduk sukar bernafas.

Pertubuhan itu menyatakan penduduk dan sumber perubatan memberitahu ‘gas toksik’ digunakan dalam serangan tentera Syria.

Serangan udara tentera Syria yang dibantu pesawat Russia menyebabkan enam orang awam terbunuh di bandar Kafr Nabi dan empat lagi maut di Maaret al Numan.

Serangan terbaru senjata kimia itu berlaku selepas Amerika Syarikat mendakwa rejim Syria menggunakan senjata itu dalam serangan dekat Damsyik sebelum ini, dakwaan yang dinafikan rejim Assad.

Namun, laporan pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kemanusiaan di Syria serta penduduk, menunjukkan senjata kimia digunakan, dipercayai gas sarin.
- Reuters

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 5:34am
d