global

Rela letup diri

Oleh Agensi

Moscow: Juruterbang pesawat penggempur Su-25 Russia yang ditembak jatuh di Idlib, Syria, kelmarin, meletupkan dirinya dengan bom tangan bagi mengelak daripada ditahan pemberontak Barisan Al- Nusra yang menghampirinya.

Laporan media Russia menyatakan, Mejar Roman Filipov yang sempat melenting keluar sebelum pesawat itu terhempas, kedengaran menjerit dalam radio: “Ini untuk anda semua!” sebelum meletupkan dirinya dengan bom tangan.

Juruterbang 33 tahun itu menghubungi pangkalan udara Russia di Khmeimim, Syria, memberitahu dia selamat mendarat dengan payung terjun dan menembak mati dua anggota penentang yang menghampirinya.

Menurut laporan Daily Mail yang memetik media Russia, pesawat Sukhoi 25SM itu terbang pada ketinggian 4,000 meter apabila ia terkena bedilan peluru berpandu bumi ke udara mudah alih yang dilancarkan dari bahu.

AFP melaporkan Kementerian Pertahanan Russia kini mengarahkan pesawatnya di Syria terbang pada ketinggian minimum 5,000 meter bagi mengelak ditembak.

Menurut Reuters, berikutan kejadian itu, Russia meningkatkan serangan terhadap Idlib dan pasukan darat Russia serta Syria sudah berada di kawasan berkenaan bagi mencari mayatnya.

Russia menyokong kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar Al-Assad menghadapi penentang, termasuk Barisan Al-Nusra.

Serangan udara Russia mengenai bandar Kafr Nubl dan Maasran serta Saraqeb, Maarat al Numan di Idlib, menyebabkan beberapa kematian.

Serangan juga mengenai hospital di Maarat al Numan menyebabkan sekurang-kurangnya lima terbunuh.

Gambar pasukan penyelamat menunjukkan bayi dan kanak-kanak dibawa keluar dengan pengusung dan orang ramai serta bomba berusaha memadam kebakaran.

Di bandar Idlib, saksi menyatakan bangunan lima tingkat ranap menyebabkan 15 orang dikhuatiri terbunuh.

Sejak Disember lalu, tentera Syria berusaha menawan wilayah Idlib - kawasan terakhir masih dikuasai penentang - dengan bantuan kumpulan bersenjata Iran serta serangan udara Rusia.

Rakyat Syria yang menentang rejim Assad, menganggap Russia sebagai penjajah yang bertanggungjawab terhadap kemataian ribuan orang awam.

Russia menafikan menyasarkan orang awam, namun serangan udara selepas jet Su-25 itu ditembak jatuh, mengenai penempatan awam di Khan al Subl menyebabkan 10 terbunuh, termasuk kanak-kanak. Mayat tujuh sekeluarga sudah dikeluarkan dari bawah runtuhan rumah mereka.

Berita berkaitan

Sukhoi Russia ditembak jatuh

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 8:21am
d