global

Minyak ular rawat botak kononnya

Oleh Agensi

Beijing: Seramai 85 anggota sindiket di Ordos, Inner Mongolia, utara China, yang menipu orang ramai kononnya boleh merawat masalah botak menggunakan minyak ular, dijatuhkan hukuman penjara sehingga 13 tahun.

Sindiket itu meraih keuntungan jutaan ringgit menggunakan anggota yang dilatih berlakon sebagai perunding perubatan dan doktor untuk memperdaya orang ramai supaya membeli produk itu menerusi panggilan telefon.

South China Morning Post yang memetik portal North News melaporkan, tiga pengasas sindiket itu dihukum penjara antara 11 hingga 13 tahun, manakala anggota lain dipenjara antara satu hingga enam tahun.

Pekerja dilatih berpura-pura menjadi perunding perubatan dan doktor untuk memperdaya orang ramai membeli produk berkenaan menerusi panggilan telefon.

Sindiket itu menyasar mereka yang mengalami keguguran rambut dan gejala lain kononnya ada kaitan dengan masalah buah pinggang, mendakwa produk terbabit disyorkan dalam perubatan tradisional Cina untuk menguatkan buah pinggang.

Lebih 100 anggota sindiket itu dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi menguruskan logistik, pemasaran, pengiklanan dan kewangan.

Bagaimanapun operasi itu terbongkar selepas seorang mangsa membuat laporan kepada polis pada lewat 2016.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 9:58am
d