global

Pemburu haram rupanya presiden syarikat terkemuka

Oleh AFP

Bangkok: Presiden sebuah syarikat pembinaan terkemuka Thailand ditahan kerana memburu secara haram di taman perlindungan hidupan liar dan gambar peralatan memburu serta bangkai haiwan, termasuk harimau kumbang yang dibunuhnya, tersebar di media sosial.

Presiden Italian-Thai Development, Premchai Karnasut, ditahan bersama tiga lagi suspek di Taman Negara Thungyai Naresuan di wilayah Kanchanaburi, Ahad lalu.

Renjer merampas tiga raifal, 143 peluru serta pelbagai peralatan memburu daripada mereka.

Syarikat pembinaan itu yang berpangkalan di Bangkok, terbabit dalam projek pembinaan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Skytrain.

Gambar yang diedarkan pihak berkuasa taman berkenaan menunjukkan Premchai duduk di hadapan khemah dikelilingi anggota polis serta kulit dan bangkai haiwan.

Ketua Pengarah Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan, Thanya Netithammakun, mengesahkan penahanan itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan jabatan taman negara, mereka didakwa memburu secara haram dan memiliki bangkai haiwan terlindung secara haram.

Sementara itu, Yayasan Rakan Hidupan Liar Thailand memuji tindakan renjer dan haiwan yang dikenal pasti dibunuh ialah harimau kumbang, burung kuang dan kijang iaitu spesies dilindungi di Thailand.

Premchai berdepan dengan tujuh tuduhan mengikut Undang-Undang Perlindungan dan Konservasi Hidupan Liar.

Syarikat itu yang juga dikenali sebagai Ital-Thai, tersenarai di bursa saham Thailand dan majalah Forbes pernah menggelar Premchai sebagai ‘pembina terbesar Thailand’ pada 2011.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 10:10am
d