global

Sakit tidak halang wanita berbakti pada 100 kanak-kanak

Beijing: Sakit kanser tidak menghalang seorang wanita berbakti kepada lebih 100 kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa dalam gempa bumi sejak lapan tahun lalu.

He Jiangping, 60, yang menghidap kanser payudara menjaga 109 budak perempuan dan lelaki yatim itu, malah yang paling bongsu dibelanya sejak berusia cuma dua tahun setengah. Kini cuma 42 kanak-kanak - 19 perempuan serta 23 lelaki - masih bersamanya, manakala selebihnya sudah memasuki universiti.

He yang juga mengetuai program kebajikan, enggan menceritakan pengorbanannya walaupun kisah itu menyentuh hati jutaan penduduk China. Kos tahunan untuk membesarkan kanak-kanak itu 1.3 juta hingga 1.5 juta yuan (RM810,000 hingga RM935,000) dan dia bergantung sepenuhnya kepada derma individu atau syarikat kerana tidak mendapat subsidi kerajaan.

He yang mempunyai seorang anak perempuan berkata, dia cuma mengharapkan anak-anak angkatnya sihat dan rasa disayangi sepanjang membesar.

Kisah He yang juga bekas guru sekolah itu bermula selepas dia dilantik sebagai ketua projek China Charities Aid Foundation for Children pada Februari 2010.

Dua bulan kemudian, gempa dengan magnitud 6.9 melanda daerah Yushu di Wilayah Berautonomi Tibet, Qinghai, selatan China, yang membunuh 2,698 orang seterusnya meninggalkan 102 anak yatim.

Susulan itu, He dan pasukannya memutuskan menjaga kanak-kanak terbabit dan selepas menerima 5 juta yuan (RM3.1 juta) daripada yayasan terbabit, dia berazam menjaga mereka semua sehingga berusia 18 tahun.

Dengan bantuan rakan sekerja dan sukarelawan, dia membawa ratusan kanak-kanak itu sejauh 2,478 kilometer dari Yushu ke Beijing, selain menguruskan penginapan serta pendidikan mereka di ibu negara itu.

“Begitu banyak cabaran. Saya terpaksa melutut merayu guru besar pelbagai sekolah menerima kanak-kanak ini kerana mereka bukan dari Beijing,” katanya.

Tujuh lagi anak yatim dihantar kepada He pada 2013 selepas gempa 6.6 magnitud di Dingxi, wilayah Gansu. - Agensi

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 3:26am
d