global

Patah serangan

Oleh Agensi

Washington: Lebih 100 pejuang yang menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad terbunuh selepas pakatan tentera diketuai Amerika Syarikat berjaya mematahkan serangan bersepadu besar-besaran sepanjang lewat Rabu hingga awal pagi semalam, kata seorang pegawai di Washington.

Pegawai yang enggan dikenali itu berkata, pasukan tentera pro-Bashar termasuk, antara lain, kira-kira 500 anggota yang bergerak tersusun dan disokong artileri, kereta kebal, sistem pelancaran roket serta meriam.

Pemerintah Pusat berkata, operasi yang bermula lewat Rabu itu bagi mematahkan serangan terhadap ibu pejabat Tentera Demokratik Syria (SDF), sekutu pakatan tentera AS yang memainkan peranan penting dalam perang terhadap Daish di negara itu.

Pegawai tentera berkata, SDF dan pakatan tentera AS menyasarkan pejuang prokerajaan dengan serangan udara serta atileri selepas 20 hingga 30 artileri serta tembakan kereta kebal membedil 500 meter ke dalam kawasan ibu pejabat SDF.

Dia tidak mengenal pasti penyerang terbabit secara terperinci yang mungkin turut membabitkan pejuang Iraq serta Lubnan yang menyokong Bashar dalam perang saudara tujuh tahun Syria itu. Bashar turut menerima sokongan Russia serta Iran.

“Kami menganggarkan lebih 100 pejuang pro-Syria terbunuh dalam pertempuran itu, manakala seorang anggota SDF cedera,” kata seorang pegawai tentera AS.

Reuters memetik pegawai tentera AS berkata: “Kami mengesyaki tentera prokerajaan merancang merampas semula kawasan yang dibebaskan daripada Daish oleh SDF pada September tahun lalu.”

Kawasan berkenaan termasuk lapangan minyak di Khusham yang menjadi sumber pendapatan penting Daish dari 2014 hingga 2017.

CENTCOM berkata, serangan berlaku lapan kilometer dari kawasan sempadan dipersetujui antara AS dengan Russia - yang menyokong tentera kerajaan - dengan pegawai Russia memberi jaminan tidak menyertai pertempuran.

SDF - terdiri daripada pejuang Kurdis dan Arab - bekerja sama dengan pakatan AS untuk mengusir Daish sepenuhnya dari tebing timur Sungai Furat selepas menawan Raqa daripada kumpulan militan itu.

Komponen utama SDF, Unit Perlindungan Rakyat (YPG) pada masa sama menjadi sasaran operasi ketenteraan di utara Syria oleh sekutu AS, Turki, yang menganggapnya ‘kumpulan pengganas.’

Sementara itu ratusan orang awam terbunuh dalam serangan udara kerajaan di kawasan penentang berhampiran Damsyik, yang turut melihat anggota perubatan bertempiar merawat mangsa yang terselamat dalam konflik dianggap paling berdarah Syria sejak beberapa bulan lalu.

Menurut AFP, Timur Ghouta yang dikawal kumpulan penentang berbeza mengalami pertempuran paling dahsyat pada Selasa lalu apabila 80 orang awam terbunuh.

Rabu lalu, pesawat perang rejim melancarkan serangan udara lagi untuk hari ketiga berturut-turut di kawasan berkenaan dengan jumlah kematian orang awam direkodkan 34 orang termasuk 12 kanak-kanak, lapor Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 8:24am
d