global

Bangunan condong tumpuan penyelamat

Oleh Agensi

Hualien (Taiwan): Tanpa menghiraukan gempa susulan yang melanda Taiwan, anggota penyelamat semalam menumpukan pencarian mangsa di dalam bangunan yang condong akibat bencana yang melanda pada Selasa lalu di bandar pelancongan Hualien yang setakat ini membunuh sembilan orang.

Pencarian di bangunan itu semalam menemui dua lagi mayat akibat nahas dengan magnitud 6.4 itu dengan kira-kira agensi bomba kebangsaan melaporkan 10 orang masih hilang berbanding 60 yang dinyatakan sebelum ini.

Gempa kuat itu menyebabkan beberapa bangunan rosak teruk termasuk condong selain meruntuhkan jalan dan memaksa ratusan orang berlindung di sekolah serta sebuah stadium.

Fokus utama untuk anggota kecemasan masih di blok kediaman Yun Tsui di mana enam mayat ditemui, manakala 10 mangsa yang masih hilang juga dipercayai berada di situ.

Daripada 10 yang dilaporkan hilang, tujuh dipercayai tinggal di hotel berkenaan, manakala tiga lagi penghuni tetap apartment itu.

Beberapa aras bawah bangunan 12 tingkat itu - yang turut menempatkan hotel - roboh menyebabkan struktur senget pada sudut 50 darjah seterusnya mencetuskan kebimbangan runtuh sepenuhnya.

Anggota penyelamat tidak berputus asa mencari mangsa terselamat di dalam bangunan itu, namun semalam cuma dua mayat ditemui - pelancong China serta pekerja hotel.

Gegaran susulan kuat terus berlaku menyebabkan penyelamat terpaksa lari keluar setiap kali dirasai sebelum kembali mencari mangsa di dalam bangunan.

Seorang anggota penyelamat, Lin berkata, mereka mengambil masa 14 jam untuk mengeluarkan mayat pekerja hotel terbabit yang terperangkap antara siling dan lantai hotel.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 8:29am
d