global

Dua pemimpin mahu jumpa

Seoul: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menjemput Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in untuk mengadakan perbincangan di Pyongyang ‘dalam masa terdekat’, kata pegawai Seoul semalam, seterusnya memungkinkan pertemuan pertama pemimpin dua negara itu dalam tempoh lebih 10 tahun.

Sebarang perjumpaan dua pemimpin itu boleh dianggap kemenangan diplomatik untuk Moon yang menang dalam pilihan raya tahun lalu susulan pendiriannya untuk lebih merapatkan diri dengan Korea Utara.

Usaha berlembut terbaru itu, susulan Korea Selatan menjadi tuan rumah Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang, berlaku dalam pada peningkatan program senjata Pyongyang tahun lalu serta tekanan terhadap Seoul oleh sekutunya di Washington.

Adik Jong-un, Kim Yo Jong, yang berkunjung ke Korea Selatan untuk menghadiri Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang, menyampaikan jemputan peribadi abangnya pada pertemuan dengan Jae-in di Rumah Biru, kata jurucakap presiden.

Jurucakap Rumah Biru, Kim Eui-kyeom memberitahu sidang media, Jong Un mahu menemui Moon ‘seawal mungkin’ manakala pemimpin Korea Selatan itu menyuarakan hasrat untuk memastikan pertemuan itu berlaku.

Pegawai Rumah Biru berkata, jawapan Moon menggambarkan kesediaannya menerima jemputan berkenaan.

Bagaimanapun, kemungkinan perbincangan dua hala antara dua negara Korea itu tidak dipandang positif Amerika Syarikat.

Secara teknikal, dua Korea itu masih berperang selepas konflik tiga tahun berakhir pada 1953 dengan gencatan, bukan rundingan damai.

Susulan itu, Moon mengharapkan Olimpik Musim Sejuk meredakan ketegangan yang kerap berlaku sejak tahun lalu dan Korea Utara juga bersetuju menghantar atlet dan pegawai berprofil tinggi ke acara berkenaan.

Yo Jong, 28, tiba di Korea Selatan kelmarin untuk upacara pembukaan sukan berkenaan di Pyeongchang.

Dia anggota keluarga keluarga pemerintah Kim yang pertama melintas sempadan ke Selatan sejak Perang Korea. - Reuters

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 9:36am
d