global

Menang pingat Olimpik selepas bangkit dari koma

Pyeongchang: Walaupun hampir kehilangan nyawa dalam kemalangan luncur salji 11 bulan lalu, atlit papan luncur, Mark McMorris membuktikan dirinya masih berbisa apabila berjaya merangkul pingat gangsa dalam Sukan Olimpik kelmarin.

McMorris, 24, yang koma apabila mengalami patah 17 tulang, kegagalan paru-paru dan limpa pecah selepas dia melanggar pokok ketika meluncur salji di Saskatchewan, Kanada pada Mac 2017.

Dia meraih gangsa dalam acara luncur menuruni cerun di Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang di belakang rakan senegaranya Max Parrot yang memenangi perak dan pemenang pingat emas, Red Gerard dari Amerika Syarikat.

Ratu luncur Amerika Syarikat, Lindsey Vonn turut memuat naik gambar McMorris di katil hospital dan satu lagi menunjukkan dia tersenyum selepas memenangi pingat gangsa itu.

“Ini sangat menakjubkan,” tulis Lindey di laman Twitter miliknya yang mempunyai seramai 987,000 pengikut.

Sejurus selepas memenangi pingat itu, McMorris mengimbas kembali bagaimana dia bangkit daripada hampir mati sehingga menjadi tajuk utama akhbar seluruh dunia.

“Saya tidak mahu terlalu fikirkan mengenainya hari ini, tetapi bersyukur dapat berada di sini untuk meluncur salji.

“Saya sangat gembira dapat meluncur semula. Lapan bulan lalu saya pernah terfikir yang saya mungkin tidak dapat meluncur lagi. Saya bertuah dapat berada di sini,” katanya. - AFP

Disiarkan pada: February 13, 2018 @ 4:29am
d